Assalamualaikum w.b.t..
Cinta
itu letaknya bukan pada harta, bukan jua pada kuasa, tidak pula pada
rupa. Tapi letaknya pada hati, jika kaya hati itu dengan cinta, maka
tiada apa yang bisa mematahkan kasih itu walau dengan segunung intan
permata.
“Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Rum:21)
***
Fatimah
tertunduk diam. Umar Abdul Aziz memulakan percakapan. Khalifah yang
selama ini sedar bahawa kehidupan Sang isteri mulai berubah. Tidak lagi
diserikan dengan khadam yang ramai, tidak pula didamping emas dan
zamrud, dan hidup mereka seperti orang biasa, malah lebih biasa dari
yang biasa.
Umar
sedar, dirinya seharusnya lebih miskin dari yang miskin, lebih papa
dari yang papa, masakan seorang khalifah duduk bersenang lenang diatas
timbunan emas sedangkan rakyat sendiri terbiar melayari bahtera
kemiskinan.
Tidak,
Umar tidak akan sesekali mengambil sesuatu yang bukan dari haknya.
Beliau tidak akan sesekali mencalari amanah Allah yang terletak di atas
bahunya.
Lembut tutur diatur, supaya tiada salah faham antara mereka.
“Wahai
isteriku Fatimah, kamu adalah anak kepada Khalifah Abdul Malik bin
Marwan. Kamu mewarisi harta kekayaan yang banyak daripada ayahmu dan
kaum kerabatmu. Adakah kamu tahu bahawa semua harta itu dirampas oleh
ayahnya daripada rakyat ketika beliau menjadi khalifah?”
Fatimah masih tertunduk..
“Saya tahu wahai suamiku…”
Nada suara lembut kelontaran.
“Kamu pilih antara dua, samaada melepaskan diriku dan kekal bersama harta itu ataupun melepaskan harta itu dan kekal bersamaku.”
Soalan Sang Khalifah benar-benar mengusik naluri wanita Fatimah. Lantas, jawapan diberikan tanpa ragu..
“Saya
memilih untuk kekal bersamamu wahai suamiku. Harta itu tidaklah kekal
dan tidaklah boleh menjadi bekalan amalanku. Yang wajar saya turuti
adalah Khalifah yang adil lagi memegang amanah. Moga saya menjadi isteri
yang sentiasa berada disisimu wahai suamiku..”
Segala
harta, tanah-tanah, emas dan zamrud, intan permata kesemuanya
diserahkan bagi diwakafkan ke Baitulmal. Kesemuanya, tiada satu pun yang
tertinggal. Kehidupan mereka menjadi lebih biasa dari orang biasa,
sedangkan mereka adalah keluarga Khalifah.
***
Amanah itu jalannya seiring dengan cinta kepada Allah.
Jika cinta kepada Allah, amanah Allah akan dijunjung.
Maka, dirinya terpelihara, keluarganya dijaga..
Dari panasnya bakaran api neraka.
Subhanallah, sedangkan walau sebiji epal pun milik Baitulmal, beliau tidak akan membiarkan ia masuk ke dalam perut anaknya…
dhiyaaqilah.
No comments:
Post a Comment