TAJUK CERPEN: MENANTI DI RAUDHAH
Angin bukit tinggi membelai lembut pipi Syed Rafiq Zulkarnain. Angin yang berpuput dari puncak bukit tinggi di sedut dalam-dalam hingga masuk penuh ke pangkal jantung. Dia bagaikan menahan angin itu dan merasa nikmatnya dan kemudian dia melepaskan kembali perlahan-lahan angin itu dengan nafasnya. Hilma Aqilah memejamkan matanya. “Dari Dia semua datang, dan kepadanya semua dikembalikan.”
“Ukhti, sudikah ukhti saya lamar menjadi pedamping hidup saya, menyempurnakan kekurangan saya, menjadi makmum untuk bakal jemaah saya?” Terngiang-ngiang soalan itu di benak kepalanya.
“Asif akhi, saya tidak dapat menerima lamaran akhi.”
“Kenapa?”
“Sudah ada yang datang melamar saya sebelum akhi datang melamar saya.”
“Dan ukhti menerimanya?"
Hilma Aqilah tersenyum namun lekas-lekas dia sembunyikan senyumnya.
“Itu satu lamaran yang tidak mungkin saya tolak akhi. Lamaran yang sudah lama saya menantikannya.”
“Siapa ukhti, siapa lelaki bertuah itu, kalau boleh saya tahu.”
“Untuk apa?”
“Untuk saya tahu, bagaimana dia bisa membuka pintu hati ukhti.”
“Dia tidak membuka pintu hati saya, akhi. Malah saya yang membuka hati saya menanti dan menerima lamaran itu.”
Terngiang-ngiang di benak Syed Rafiq Zulkarnain perbualannya dengan Hilma Aqilah semasa dia ingin melamarnya tiga bulan lepas. Tiap-tiap bait kata yang keluar daripada mulut Hilma Aqilah bermain di benaknya, tidak pernah gagal meleraikan butir-butir mutiara di pelupuk mata Syed Rafiq Zulkarnain.
“Beruntung engkau ukhti kerana menerima lamarannya.”
Syed Rafiq Zulkarnain menangis semakin hebat. Dia malu kerana kebodohannya sendiri. Selendang ungu yang berbalut dilehernya tiba-tiba menutup separuh wajahnya. Syed Rafiq Zulkarnain menarik selendang itu dan dilepaskan daripada membalut batang lehernya. Dia teringat bagaimana dia mendapat selendang itu daripada Hilma Aqilah. Bukan dengan cara yang membanggakan atau seronok untuk dikenang.
#####
Malam itu, selepas dua bulan dari tempoh dia melamar Hilma Aqilah, Syed Rafiq Zulkarnain hilang separuh kesabaran dan kewarasan berfikir. Dia menunggu Hilma Aqilah di luar kawasan kediaman Puteri. Dirinya dikuasai amarah kerana tidak dapat menerima penolakan Hilma Aqilah dan Hilma Aqilah tidak pula memberitahu kepadanya siapa lelaki yang melamarnya terlebih dahulu.
“Aqilah, tunggu sebentar!”
Hilma Aqilah terkejut mendengar suara Syed Rafiq Zulkarnain di dalam kawasan kediaman Puteri. Dia menjadi bertambah malu bila kelakuan Syed Rafiq Zulkarnain memanggil dan menunggunya di kawasan itu dilihat oleh pelajar-pelajar lain. Hilma Aqilah cuba untuk mengelak daripada Syed Rafiq Zulkarnain.
“Hilma Aqilah, tunggu sebentar!!!”. Sekali lagi Syed Rafiq Zulkarnain memanggilnya. Lebih keras suaranya.
“Ada apa akhi?”
“Jelaskan pada saya, siapa lelaki yang melamar awak sebelum saya dan kenapa lamaran saya di tolak?”
“Asif akhi, saya tak dapat jelaskan pada akhi siapa yang melamar saya dan kenapa saya tidak dapat menerima lamaran akhi. Dengan cara akhi sebegini, lagi membuatkan saya yakin, akhi tidak akan dapat menerima jawapan saya. Asif akhi, saya tak boleh berlama-lama di sini. Begitu juga akhi, sini kediaman Puteri. Akhi sepatutnya jelas tentang itu. Assalamu'alaikum akhi.”
“Aqilah, tunggu Aqilah, tunggu! Hilma Aqilah!!”
Hilma Aqilah berjalan meninggalkan Syed Rafiq Zulkarnain. Dia ingin lekas segera beredar dari situ. Akan tetapi Syed Rafiq Zulkarnain masih berdegil dan tidak berpuas hati dengan jawapan Hilma Aqilah. Syed Rafiq Zulkarnain cuba melarang Hilma Aqilah beredar sebelum dia mendapat jawapannya. Syed Rafiq Zulkarnain secara tidak sengaja menarik bahu Hilma Aqilah dan selendang yang dipakai Hilma Aqilah tercabut dan berada di dalam genggaman Syed Rafiq Zulkarnain.
Hilma Aqilah jadi bertambah malu kerana kelakuan Syed Rafiq Zulkarnain. Secara tidak sengaja dia menampar pipi Syed Rafiq Zulkarnain.
“Asif akhi, saya tidak sengaja…"
“Tak…tak mengapa Aqilah, saya yang bersalah.”
“Akhi, saya lebih tenang mendengar akhi memanggil saya ‘ukhti’ daripada memanggil nama saya.”
Syed Rafiq Zulkarnain terdiam. Selendang Hilma Aqilah masih di tangannya.
“Akhi, baiklah. Jika akhi mahu tahu siapa yang melamar saya. Jika itu jawapan yang akan membuatkan akhi beransur dari sini. Saya akan beritahu akhi. Datanglah ke kawasan kediaman Puteri ini tepat malam sabtu selepas azan pertama solat Isya’ tiga hari dari sekarang. Nanti akhi akan tahu siapa yang melamar saya dan kenapa saya menerima dan tidak dapat menolak lamarannya. Sebelum hari itu, akhi janganlah datang ke sini atau bertanya apatah lagi berfikir tentang saya. Selendang itu, akhi simpanlah sebagai hadiah daripada saya, Assalamua'laikum, jaga diri jaga iman ya akhi…”. Hilma Aqilah beredar dari situ.
Syed Rafiq Zulkarnain masih terpana di kawasan kediaman Puteri dengan selendang Hilma Aqilah di tangannya dan bekas tamparan Hilma Aqilah di pipinya.
#####
Tepat tiga hari selepas masa yang diberitahu Hilma Aqilah kepadanya, dia datang ke kawasan kediaman Puteri. Namun Syed Rafiq Zulkarnain datang sebelum Isya’ kerana dia begitu penasaran untuk melihat siapa yang telah berjaya membuka pintu hati Hilma Aqilah.
“Assalamualaikum.”
Syed Rafiq Zulkarnain tersedar dari lamunannya selepas mendengar orang memberi salam. Dia lekas menjawab dan melihat seorang lelaki sebayanya berdiri tidak jauh darinya.
“Tunggu apa akhi di sini, bukankah sini kawasan kediaman Puteri?”. Lelaki itu bertanya kepadanya.
“Akhi tanyakan saya, tapi akhi sendiri buat apa di sini?”
“Saya ada sedikit “urusan” di sini selepas isya' nanti, jadi sebab itu saya ke sini.”
“Oh? Urusan dengan penghuni asrama ini ke?”
“Lebih kurang, begitulah. Akhi masih belum menjawab pertanyaan saya, apa yang akhi buat di sini?”
“Saya menunggu seorang penghuni asrama ini. Saya datang kerana hendak tahu siapa yang melamarnya sebelum saya dan kenapa dia menerima lamaran itu.”
“Oh, begitu ya. Mungkin akhi ini orang yang dimaksudkan seorang penghuni di sini kepada saya.”
“Maksud akhi?”
“Tadi semasa saya baru tiba di sini, ada seorang penghuni asrama ini mengirimkan sesuatu kepada saya. Katanya akan ada seorang lelaki menunggunya di sini dan dia meminta saya menyerahkan ini kepada lelaki itu.” Lelaki itu menghulurkan sepucuk surat kepada Syed Rafiq Zulkarnain
“Asif akhi, saya perlu beredar kerana “urusan” saya hampir tiba masanya, InsyaAllah nanti pasti kita akan berjumpa lagi. Assalamu'alaikum akhi, jaga diri jaga iman." Lelaki itu beredar sebelum sempat Syed Rafiq Zulkarnain menjawab salamnya.
Syed Rafiq Zulkarnain membuka surat itu dan membacanya perlahan-lahan.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang,
Assalamu'alaikum, Syed Rafiq Zulkarnain, kaifa haluka ya akhi? InsyaAllah, Moga terpelihara kesihatan dan iman hendaknya. Saat akhi membaca surat ini, saya berkemungkinan sedang mempersiapkan diri saya untuk persiapan terakhir sebelum datang menerima lamaran yang saya nantikan. Akhi tak perlu risau kerana tak lama daripada akhi membaca surat ini, akhi akan tahu siapa yang melamar saya dan kenapa saya tak menolak lamarannya.
Akhi, saya ingin sampaikan beberapa pesanan kepada akhi sebelum saya tidak lagi boleh berpesan kepada akhi kerana terikat dengan lamaran saya kerana setelah saya menerima lamaran itu, tak mungkin saya akan dapat berhubung dengan akhi.
Pertama-tamanya, saya ingin berpesan kepada akhi, satu rahsia mengenai kebahagiaan. Saya faham mungkin tindakan akhi kepada saya beberapa malam sebelum ini kerana akhi tidak dapat menerima penolakan saya dan hati akhi tidak tenteram dan bahagia. Jadi saya ingin kongsikan kepada akhi apa itu kunci kebahagiaan. Kunci yang akan dapat membuatkan akhi mendapat kebahagian ialah tidak lain dan tidak bukan dengan menerima dengan percaya dengan sepenuh kepercayaan akan Qada’ Qadar. Tak boleh tak. Jika akhi menolaknya, maka akhi menolak satu daripada rukun keimanan dan rukun iman memang kita mesti menerima kesemuanya bukan sebahagian sahaja daripadanya.
Kedua, jika akhi kasihkan kepada seseorang, kasihkanlah dia kerana Allah, kerana dengan mengasihi seseorang kerana Allah akan dapat membuatkan akhi selesa di sana dan berkumpul dengan orang-orang yang berkasih kerana-Nya dan mendapat terus Rahmat secara langsung dari-Nya di sana kelak.
Ketiga, apa–apa pun yang akhi cakap, fikir, rasa, dan lakukan, ingatlah supaya semuanya berasas kerana dan untuk-Nya semata-mata tidak boleh kerana selain-Nya, kerana perbuatan seperti itu akan mengelakkan akhi daripada menyekutukan-Nya. Apa akhi mahu menyekutukan-Nya? Tentulah tidak bukan.
Dan terakhir, saya ingin akhi tahu, sejujurya saya amat senang dan berbahagia kerana akhi melamar saya dan akhi tidak terlewat melamar saya, malah, akhi lah orang yang pertama melamar saya dan saya sangat senang untuk menerimanya. Cuma lamaran yang saya terima ini, tidak memungkinkan saya untuk menerima lamaran akhi.
Asif akhi, saya tak punya banyak masa lagi untuk menulis. Saya teramat perlu untuk mempersiapkan diri saya. Akhi, jika kasihkan saya, kasihkanlah saya kerana Allah. Maka insyaAllah dengan rahmat-Nya kita akan berjumpa semula di sana akhi.
Assalamu'alaikum dan terima kasih kerana lamaran akhi, jika tidak kerana lamaran yang saya tunggu ini, tentu sekali saya akan menjawab ‘ya’ pada lamaran akhi.
Syed Rafiq Zulkarnain tersedar dari membaca surat bila azan isya' berkumandang. Dia cepat-cepat melipatkan surat itu dan menyimpankannya di dalam poket bajunya dan berlekas-lekas untuk bersolat. Seusai azan siap berkumandang, terdengar jeritan dari kediaman Puteri. Syed Rafiq Zulkarnain tiba-tiba berasa tidak enak. Dia hendak ke sana, tetapi kerana itu adalah kawasan larangan untuk lelaki, Syed Rafiq Zulkarnain membatalkan hasratnya. Dia menanti sahaja di luar dengan hati yang berdebar-debar. Tidak lama selepas itu, Syed Rafiq Zulkarnain melihat beberapa orang ustaz dan ustazah bergesa-gesa ke kediaman Puteri. Syed Rafiq Zulkarnain sempat menahan seorang ustaz yang seusia dengannya.
“Asif akhi, kenapa akhi dan semua orang bergegas ke kediaman Puteri?”
“Ada seorang penghuni jatuh rebah selepas usai mengangkat wuduk.”
“Jatuh rebah?”
“Meninggal dunia akhi, ada seorang pelajar meninggal dunia selepas mengangkat wuduk, Hilma Aqilah namanya. Asif, saya perlu segera ke sana, Assalamu'alaikum akhi.”
Jantung Syed Rafiq Zulkarnain tiba-tiba bagai terputus dari tangkainya. Kakinya lemah. Dia terduduk. Bibirnya terkunci. Fikirannya berkecamuk. Hatinya meronta-ronta. Jiwanya terasa kosong kerana kehilangan itu.. Namun ia hanyalah bersifat sementara, kerna warkah terakhir itu mengingatkannya akan sesuatu yang perlu di teladani, iaitu:-
“Satu dari kunci kebahagiaan ialah menerima Qada’ Qadar…”.
Syed Rafiq Zulkarnain memegang dadanya.
“Jika kasihkan seseorang, kasihkannya kerana Allah…”
Syed Rafiq Zulkarnain merasakan dadanya bagai dihiris-hiris mata pisau.
“Sejujurnya saya amat senang dan berbahagia kerana akhi melamar saya…"
Syed Rafiq Zulkarnain merasakan air matanya bergenang.
“Akhi, jika kasihkan saya, kasihkanlah saya kerana Allah. Maka insyaAllah dengan rahmat-Nya kita akan berjumpa semula di sana akhi…”
Syed Rafiq Zulkarnain meraup wajahnya. Matanya bergenang hebat. Dadanya lumat dihiris-hiris.
“Aqilah. Namanya Hilma Aqilah. Dia meninggal dunia selepas mengangkat wuduk.”
Syed Rafiq Zulkarnain menangis semahu-mahunya. Surat di dalam poketnya dikeluarkan dan digenggam erat-erat. Selendang ungu yang dibawa dengan hasrat untuk dipulangkan ditekup di wajahnya. Syed Rafiq Zulkarnain menangis semahu-mahunya….
#####
Syed Rafiq Zulkarnain tersedar daripada lamunannya. Dia melihat selendang ungu di tangannya. Dia menghirup angin senja bukit tinggi dalam-dalam dan menghembuskannya kembali dihadapan lukisan alam yang terbentang indah.
“Daripada Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Hilma Aqilah, terima kasih kerana mengajarku erti cinta sebenar-benarnya…"
Terima kasih Hilma Aqilah. Terima kasih atas segala atas segala yang telah ukhti berikan kepada saya. Tak mungkin dapat saya melupakan semua itu sehingga akhir hayat. Begitu juga dengan rasa cinta yang dipinjamkan walaupun ia cuma seketika, tak mungkin sama sekali saya dapat padamkannya Hilma Aqilah.
Matanya kembali dialih pada sinaran matahari yang hilang di celah kegelapan yang mula bertandang. Menandakan malam mengambil alih suasana buat seketika sebelum siang kembali menjelma. Membentuk satu putaran yang tidak mungkin dapat diubah oleh sesiapa. Melainkan dengan izin-Nya Maha Kuasa.
No comments:
Post a Comment